Sunday, March 22, 2009

from my older files.....

Mengenai AIR , hak asas warga Kondominium dan Pangsapuri.

Menyediakan bekalan air yang bersih, selamat dan pada kadar yang berpatutan kepada Rakyat adalah menjadi tanggungjawab kerajaan. Di Malaysia, tanggungjawab ini adalah di bawah kerajaan negeri.

Sebagai satu keperluan asas, maka semua perkara berkenaan dengan bekalan air seharusnya disediakan sama rata kepada semua Rakyat. Oleh itu, warga Kondominium dan Pangsapuri berasa kecewa kerana mereka dikehendaki membayar air pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan warga perumahan bertanah (landed property residents). Justeru, mereka telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja (CAHC) untuk menyeru dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi masaalah ini.

Sebagai kerajaan yang prihatin dan berjiwa Rakyat, Kerajaan Selangor telah bersetuju bahawa Warga CAHC boleh membayar air pada kadar yang sama dengan warga perumahan bertanah. Walaubagaimanapun, beberapa masaalah pengurusan masih harus dipertimbangkan.

Kerajaan Negeri mencadangkan bahawa Warga CAHC mesti memohon sebagai Individu mengikut Jawatankuasa Kondominium / Pangsapuri berasingan kepada SYABAS untuk akaun individu mengikut unit-unit perumahan berasingan di Kondominium / Pangsapuri tersebut. Tetapi, permohonan ini perlu dipersetujui dan dibuat oleh Syarikat Pengurusan Kondominium dan Pangsapuri itu.

Soalan yang pertama: Mengapakah seorang rakyat perlu memohon untuk mendapatkan HAK ASAS-nya? Kedua: Mengapa pula hak asas ini perlu dipersetujui oleh pihak ketiga (Syarikat Pengurusan Kondominium/Pangsapuri)?

Kami mencadangkan supaya Kerajaan Negeri yang prihatin ini seharusnya, melalui Akta Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang supaya semua rakyat tidak kira jenis tempat penginapan persendirian mereka membayar bekalan air pada kadar yang sama. Bagaimanapun, kadar yang lebiih rendah untuk penghuni rumah murah boleh terus diberikan kadar rendah yang sedia ada.

Kini, SYABAS akan mengeluarkan satu bil untuk bekalan air seluruh Kondominium / Pangsapuri kepada syarikat pengurusan. Syarikat itu pula akan menghitung pengunaan bekalan air oleh setiap unit penginapan dalam Kondominium / Pangsapuri tersebut. Perbezaan antara, unit air yang digunakan oleh semua unit individu dengan bil SYABAS menjadi penggunaan bersama (Common Use) dan dibiayai secara purata oleh semua warga tempat tersebut melalui Bayaran Pengurusan Bulanan.

Dalam garis-panduan kerajaan untuk Warga CAHC berhijrah kepada Meter Individu, kadar untuk bekalan air gunasama (Common Use) adalah pada kadar Perdagangan (Commercial Rate). Mengapa pula?