Saturday, February 21, 2015

Ucapan Penangguhan

Terima kasih tuan pengerusi.

Saya bermula dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor atas perlantikan semula saya sebagai Ahli Majlis.

Saya juga merakamkan tahniah kepada semua rakan rakan yang dilantik semula serta selamat datang kepada yang baru dilantik. Selamat berkhidmat kepada semua. Tidak ketinggalan adalah ucapan Terima Kasih kepada rakan rakan PAS dan DAP yang telah terus berkhidmat sepanjang 6 minggu yang lepas ini. Khidmat anda dihargai.

Untuk ucapan penangguhan saya yang pertama untuk tahun 2015 ini, saya ingin bawa isu Seni dan Budaya.

Pada akhir tahun 2013, MBPJ telah menganjurkan The PJ International Folklore Festival dimana lebih 10 negara asing turut hadir.

Program seni itu agak berjaya tetapi selepas itu nampak macam tidak ada penerusannya. Malah, infrasturktur khas yang dibina dibiarkan begitu sahaja.
Boulevard yang luas dan cantik serta pentas berbumbung dan pentas mini kini bagaikan gajah putih.

Saya ingin membawa usul untuk rakan-rakan Ahli Majlis untuk membuat dasar menjadikan kawasan Boulevard itu sebagai pusat dan nadi Seni dan Budaya di Petaling Jaya. Marilah kami jadikan Petaling Jaya sebagai Kota Seni selaras dengan agenda Kerajaan PR Negeri Selangor dimana bajet 2015 telah menyediakan dana bagi tujuan tersebut.

Kini, mungkin tidak diketahui umum, pihak MBPJ sedang cuba menghidupkan kawasan Boulevard PJ. Setiap Jumaat dan Sabtu (malam Sabtu dan Ahad) pukul 9 hingga 12 ada persembahan "busker" di tapak tersebut.

Saya usulkan agar Majlis menyediakan dana supaya program tersebut dipromosikan dengan lebih giat lagi.

Bersama dengan itu, saya juga usulkan tapak tersebut dijadikan tapak "flea market" pada hari dan masa yang sama.

Tujuan utama adalah untuk menjadi tarikan untuk pengunjung serta peluang warga PJ mempromosikan hasil kraf tangan mereka.

Disamping itu, pentas mini di hadapan StrawberyCafe harus disediakan untuk kumpulan seni dan budaya di PJ membuat pementasan secara percuma bagi manfaat warga kota.

Saya yakin initiatif ini dapat menghidupkan kawasan tersebut dan pada masa yang sama membawa seni dan budaya ke PJ.

Bertujuan menjadikan PJ sebagai Pusat Seni dan Budaya selaras dengan hasrat Kerajaan PR Negeri Selangor, saya juga mengusulkan agar Auditorium Dewan Sivik disediakan secara percuma sekurang kurangnya sekali setiap 3 bulan untuk pementasan oleh kumpulan-kumpulan kesenian di PJ.

Untuk makluman, dalam bulan Januari Auditorium tersebut telah digunakan untuk dua program seni iaitu

Selangor Philharmonic Orchestra anjuran bersama PeBT Zon2
Tarian Klasikal India dengan artis jemputan terkemuka India.

Sememangnya permintaan dan minat untuk seni dan budaya di PJ adalah amat tinggi sekali. Begitu juga, PJ adalah kediaman untuk ramai artis-artis dan seniman.

Tuan Pengerusi,
Kalaulah seseorang itu menyertai pertanding bakat realiti TV dan menjadi juara dengan hadiah RM100,000 dan sebuah kereta mewah, agaknya orang itu menjadi kebanggaan semua.

Antara warga kerja MBPJ adalah seorang juara tersebut yang kini bernyanyi sebagai "busker" jalanan di Boulevard MBPJ.

Saya usulkan Sdri Salmah disokong dan diangkat sebagai bakat dan ikon kesenian MBPJ.

MBPJ seharusnya mempromosikan beliau sebagai muka seni Petaling Jaya dan dijadikan asset kami. Bakat beliau pasti boleh menjadi daya tarikan untuk tapak Seni di Boulevard PJ.

Saya mohon agar jabatan berkenaan menyediakan kertas kerja usul-usul yang saya bentangkan ini untuk perbincangan di peringkat jawatankuasa.

Semoga PJ akan dikenali sebagai Kota Seni Selangor.

Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Ahli2 Majlis yang baru.

Izinkan juga saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Pengerusi sendiri atas perlantikan Tuan sebagai YDP Majlis Sepang. Kami di PJ menghargai sumbangan mu dan harap akan menyambut Saudara kembali sebagai Datuk Bandar selepas meminjamkan Saudara kepada Majlis Sepang.

Saya juga ucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua yang menyambut dan doakan agar semua akan pandu cermat di jalanraya ketika dalam perjalanan balik kampung dan bercuti.

Terima kasih.