Friday, November 2, 2012

The Great Malaysian Robbery

Rasuah adalah bagai penyakit barah yang melemahkan badan, membawa lebih masalah dan kalau tidak dikawal, akan membawa maut. Rasuah akan mengalirkan wang keluar dan mengecutkan ekonomi Negara. Hasilnya adalah kenaikan kos sara hidup, penambahan taraf kemiskinan dikalangan masyarakat dan pencabulan hak asasi rakyat. Rasuah akan menurunkan kualiti barangan dan perkhidmatan dan boleh membawa kecederaan. Umpamanya, kerana rasuah, penilaian kualiti kerja yang sepatutnya dilakukan, diabaikan atau dikompromi. Akibatnya siling lapangan terbang runtuh dan cederakan orang. Bumbung stadium runtuh, siling hospital, mahkamah dan juga dewan parlimen pun boleh bocor. Maka rasuah dan penyelewengan yang melibatkan perbelanjaan beratus-ratus juta Ringgit wang rakyat oleh pihak kerajaan menjadi isu penting semua rakyat. Kita tidak boleh tutup mata, walaupun tutup sebelah mata sahaja dan buat tak tahu. Kalau anak kita dirogol didepan mata kita, sanggupkah kita berpeluk tubuh dan berdiam diri? Saya akan memberikan gambaran mengapa kes Skandal Scorpene begitu penting sekali untuk rakyat Malaysia mengambil tahu dan seterusnya apakah yang boleh kami lakukan bersama sebagai rakyat yang prihatin. Pada mulanya apabila kes ini dibangkitkan, ia berkenaan dengan wang rasuah sebanyak RM 500 juta. Walaupun berbagai aduan dibuat, tiada tindakan diambil untuk memulakan sebarang siasatan di tanah air kita. Secara kebetulan pimpinan SUARAM, dalam satu sidang antarabangsa telah bertemu beberapa peguam hak asasi Perancis yang berminat dalam kes ini kerana membabitkan syarikat Perancis. Yang penting diketahui, Skandal Scorpene di Malaysia ini bukannya unik dan khusus sahaja. Syarikat Perancis yang membekal kapal selam ini, DCNS juga terlibat dalam beberapa kes di negara-negara yang turut melibatkan amalan rasuah dan pembunuhan. Di Taiwan, seorang engineer telah kononnya melompat dari tingkap bangunan tinggi dan membunuh diri dalam insiden yang meragui. Ahli-ahli keluarga mereka yang terlibat dalam pembelian kapal selam juga mengalami tragedi dalam situasi yang masih dipersoalkan. Di Pakistan 11 orang engineer Perancis telah mati akibat letupan bom dalam sebuah bas yang pada permulaannya disyaki tanggungjawab pihak terroris. Tetapi telah dibuktikan letupan bom dibuat oleh pihak tentera Pakistan sendiri kerana tidak menerima wang rasuah yang telah dijanjikan oleh pihak DCNS, pembekal kapal selam. Di Malaysia, isu gadis molek dari Mongolia masih ada dalam peringatan kami semua. Nama Altanthuya akan masuk dalam sejarah hitam negara kita. Jadi Skandal Kapal Selam Scorpene yang dibangkitkan oleh SUARAM bukannya omong-omong kosong sahaja. Ia berasas dengan bukti-bukti kukuh yang sekarang masih disiasat oleh mahkamah Perancis kerana agensi kerajaan Malaysia enggan bertindak. Pada permulaan kes ini, ia melibatkan jumlah RM 500 juta. Hasil daripada siasatan awalan mahkamah Perancis dan daripada jawapan soalan-soalan di Parlimen Malaysia, jumlah RM 500 juta itu bagai setitik air dalam lautan. Its only the tip of the iceberg. Kos RM 5 billion untuk Kapa lSelam yang dibeli itu tidak termasuk pelengkapan dan senjata api. Kalau bercampur dengan kos pelengkapan, senjata dan kos penyelenggaraan untuk 3 tahun, jumlah RM 5 billion itu akan mencecah RM 7.5 billion. Bayangkan selepas berbelanja RM5 billion untuk kappa lselam, ia masih tidak boleh digunakan. Perlengkapan dan senjata hanya akan dibekalkan pada tahun 2013. Malah pengkalan untuk kapal selam di Sabah masih dibina, dijangka siap awal tahun 2013. Kalaulah Malaysia diserang, kami tidak dapat mempertahankan negara kami dengan kapal selam Scorpene ini walaupun sudah berbelanja lebih RM7.5 billion. Macamlah yang saya selalu dengar dulu, masa zaman kegelapan Samy Vellu menteri KerjaRaya. Ada tiang takde lampu, ade paip takde air. Sekarang ade Kapal Selam canggih, tak boleh pakai. Mampukah kita, sebagai rakyat Malaysia terus berdiam diri? Pelbagai aduan telah dibuat dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia tetapi tiada tindakan atau siasatan diambil. Maka SUARAM telah membuat aduan di Perancis kerana ia melibatkan sebuah syarikat di Perancis. Kebelakangan ini pula, pihak berkuasa Malaysia telah sibuk membuat pelbagai siasatan. Bukan siasatan aduan rasuah dan penyelewengan tetapi siasatan atas SUARAM. 6 agensi kerajaan digerakkan untuk menyiasat SUARAM. Berbagai tuduhan dibuat bermula dengan SUARAM sebagai penubuhan haram dan melanggar akta penubuhan. Kemudian sebagai penubuhan haram kerana menerima wang asing. Kemudian dituduh sebagai agen Yahudi untuk mengulingkan kerajaan. SUARAM hanya ada 8 kakitangan penuh masa: kalaulah mereka ini boleh gulingkan kerajaan, maka masalahnya bukanlah SUARAM tetapi keupayaan kerajaan yang boleh digulingkan sebegitu sahaja. SUARAM sejak dari mula lagi memberikan kerjasama yang terbaik kepada agensi-agensi ini membantu siasatan mereka. Sudah hampir satu bulan menyiasat tapi belum ada dakwaan lagi - mengapa? Sebab jelaslah, SUARAM tidak bersalah! Kalau nampak salah guna kuasa, kita buat aduan, itu salah ke? Yg seharusnya disiasat adalah yang salah guna kuasa, bukan yang membuat aduan! Maka siasatan yang dibuat keatas SUARAM merupakan satu tindakan intimidasi dan kami sebagai rakyat prihatin seharusnya mengutuk tindakan ini dengan sekuat-kuatnya. Peguam yang mewakili YB Sivarasa, salah seorang pengasas SUARAM, telah menerima “ugutan” untuk mendedahkan dokumen-dokumen SUARAM kepada pihak berkuasa. Segala komunikasi antara peguam dan anak-guamnya dijamin sulit antara mereka. Pihak berkuasa tidak boleh memaksa peguam untuk memecahkan amanah professional mereka. Tetapi saya pasti, pihak berkuasa akan cuba memutar belit fakta dan akan membawa dakwaan dan fitnah ke atas SUARAM dalam jangkamasa terdekat. Saya pasti pihak berkuasa akan cuba mengharamkan SUARAM sebagaimana mereka telah mengharamkan BERSIH 2.0. Perlu saya jelaskan di sini, bahawa apa jua yang terjadi kepada SUARAM, siasatan di mahkamah Perancis akan tetap berlansung dan kebenaran akan diketahui. Dalam siasatan awalan oleh mahkamah Perancis, mereka telah sita dokumen-dokumen daripada syarikat pembekal kapal selam DCNS. Jadi apa yang akan saya terangkan sekarang adalah berasaskan bukti-bukti kukuh; bukti hitam putih. Mereka terjumpa satu dokumen SULIT – RAHSIA yang disediakan oleh pihak tentera Malaysia. Apabila ingin membeli kapal selam, beberapa negara pembekal telah dijemput memberikan tender mereka. Pihak pakar tentera kami membuat bandingan dan lapuran kekuatan dan kelemahan setiap tender tersebut untuk pihak atasan menilai dan membuat keputusan. Dokumen ini amat sulit kerana melibatkan keselamatn negara kita. Lapuran SULIT ini terjumpa di DCNS dan telah sampai ditangan mereka melalui sebuah syarikat di HongKong bernama TERASASI, yang dimilik oleh Razak Baginda dan ayah beliau. Ada juga terjumpa antara dokumen2 yang disita itu, bukti pemindahan wang daripada DCNS kepada Terasasi berjumlah sebanyak RM130 juta. Jadi 1 + 1 = 2. Bagaimana dokumen SULIT ini boleh sampai di tangan Terasasi dan seterusnya ke DCNS Perancis dan kini di mahkamah Perancis? Ini rahsia negara kini, dimanalah maruah rakyat Malaysia apabila rasiah keselamatan negara kita digadai sebegitu. Bukankah sepatutnya siasatan terperinci dibuat sebaik sahaja terdedah perkara ini. Mereka yang terlibat menjual rahsia negara inilah yang sewajarnya dipanggil pengkhianat negara bukannya SUARAM yang buat aduan itu pula yang disalahkan. Kalau dizaman dulu, apa denda kepada pengkhianat? Pancung kepala! kita sudah bertamaddun, kita hormati Kedaulatan Undang2. Kita Rakyat Malaysia mahu perkara ini disiasat secara terperinci dan yang bersalah didakwa mengikut perundangan negara yang sedia ada dan bukan pula disiasat di negara asing. Di negara lain, biasanya bila terdedah skandal sebesar ini, orang yang bertanggungjawab akan meletak jawatan walaupun siasatan masih dijalankan. Di Malaysia, tiada siasatan dan yang bertanggungjawab pula dinaikan pangkat daripada Menteri Pertahanan dan kini menjadi Perdana Menteri. Mampukah kita, terus berdiam diri? Ayoh marilah kita bangkit sebagai rakyat Malaysia, bangkit sebagai satu suara menentang Rasuah, menuntut pentadbiran yang lebih bertanggungjawab, tulus dan ikhlas. Kuasa ditangan kita, kuasa undi kita. Sambil menunggu PRU13, teruslah berkongsi maklumat yang diterima malam ini kepada rakan-rakan dan teman-teman anda. Apabila pulang rumah nanti, renunglah muka dan waja anak / cucu anda dan tanyalah kepada diri anda sendiri, apakah negara yang bakal anda tinggalkan untuk menjamin masa hadapan mereka. Bolehkah anda berdiam diri lagi? Adakah dunia dan Malaysia menuju kearah ketegangan dan menghadapi risiko peperangan? Wajarkah kami memperuntukkan perbelanjaan yang sebegitu tinggi untuk membeli kapal selam mempertahankan tanah air kami ini. Bayangkan betapa baiknya dan tinggi manfaat sekiranya wang itu digunakan untuk menaikan taraf hidup rakyat Malaysia dan membina sekolah-sekolah dan hospital-hospital di Malaysia. Bolehkah anda berdiam diri lagi? Saya bersama rakan-rakan seperjuangan saya dalam jawatankuasa OpsScorpene akan terus menjelajah seluruh tanah air Le Tour de Scorpene: untuk berkongsi maklumat Skandal Scorpen ini. Seperti saudara-saudari, kami merasa marah, kami merasa kecewa dan kami juga merasa penat dan letih tetapi dengan sokongan saudara saudari, kami tetap akan berjuang menuntut kebenaran dan ketulusan demi masa hadapan negara yang tercinta ini. Ingat, berkongsilah maklumat yang anda baca dengan rakan-rakan dan keluarga anda. Biarlah kami semua tidak terus hidup dalam kegelapan kerana kekurangan maklumat tepat. Biarlah kami bersedia menghadapi PRU 13 dengan dibekalkan maklumat yang tepat supaya kami boleh membuat keputusan berdasarkan pengetahuan, let us make an informed decision. Terima Kasih.

No comments: